KOTA BHARU, 24 Jun: Ekoran pelbagai tuduhan dilemparkan oleh Red Carpet Worldwide Sdn Bhd selaku pengurus acara Kelantan Fiesta 2010, persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan semalam didedahkan perkara sebenar di sebalik tindakan pemulauan majlis perasmian majlis itu 16 Jun lalu.
Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga salah seorang pengerusi bersama jawatankuasa induk Kelantan Fiesta 2010 sewaktu menggulung perbahasan semalam memberitahu, keputusan tidak hadir ke majlis perasmian tersebut dibuat ekoran Red Carpet melanggar perjanjian (Event Management Agreement).
Antaranya termasuklah tidak membenarkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku tuan rumah untuk memberikan ucapan pada majlis tersebut yang diberitahu pada mesyuarat jawatankuasa induk 13 Jun lalu.
Mereka dimaklumkan bahawa yang dibenarkan berucap hanya dua orang iaitu wakil Red Carpet dan Perdana Menteri.
Menurutnya, seorang pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan memberitahu bahawa arahan agar slot ucapan Menteri Besar Kelantan ditiadakan dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapha Mohamed.
"Mula-mula saya tak percaya. Saya telefon, saya bercakap sendiri dengan Datuk Pa, didengar oleh pegawai JPP, TSUK Pengurusan. Datuk Pa kata menteri besar tak payah berucap," jelasnya.
Menurutnya, dalam perjanjian asal telah dipersetujui bahawa Tuan Guru salah seorang yang akan memberi kan ucapan dan telahpun dimasukkan dalam buku taklimat atucara majlis yang dibuat sendiri Red Carpet.
Tuan Guru, katanya dijangka berucap jam 9 malam sebelum ucapan perasmian oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.
"Menteri Besar sebagai hos, tuan rumah, memang wajar berucap dalam majlis perasmian itu. Tak kan Perdana Menteri datang sorang-sorang tak tahu kepala ekor datang berucap begitu.
"Umpama kita pergi rumah orang, tuan rumah tak buka mulut lagi, kita dah bercakap," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri.
Pelanggaran kedua, katanya apabila pihak Red Carpet dalam satu sidang media 13 Jun yang dilaporkan akhbar Utusan, mendakwa Perdana Menteri yang akan merasmikan program tersebut sedangkan perjanjian mengikut perjanjian asal, perasmi adalah Pemangku Raja Kelantan.
Lebih teruk dari itu, Red Carpet juga mencetak bunting program perasmian dengan meletakkan gambar Najib yang dinyatakan sebagai perasmi program.
Menurutnya, Pemangku Raja telah pun bersetuju untuk berangkat merasmikan program tersebut melalui satu surat dari pejabat Sultan Kelantan bertarikh 14 Jun.
Namun pada 16 Jun, satu lagi surat dari pejabat Sultan Kelantan memaklumkan Pemangku Raja tidak dapat berangkat merasmikan program tersebut atas sebab-sebab tertentu.
"Oleh kerana senario berlaku, masalah pelanggaran syarat perjanjian, dan juga kita anggap sebagai satu program yang tidak mematuhi syarat, dan satu penghinaan kepada Yang Maha Mulia Pemangku Raja.
"Jadi mesyuarat exco buat keputusan, menteri besar, exco dan pegawai kerajaan tidak akan hadir," katanya.
Dalam penjelasannya juga, Takiyuddin turut menjawab beberapa tuduhan yang dilemparkan Red Carpet kepada kerajaan negeri termasuk menuduh kerajaan negeri mensabotaj program berkenaan.
"Jadi apabila hujan datang, ribut datang, seolah-olah kerajaan negeri boikot dengan bawa hujan ribut sekali," katanya disambut ketawa ahli dewan.
Pada malam 16 Jun lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menggantikan Perdana Menteri merasmikan Kelantan Fiesta 2010 hanya dengan kehadiran kira-kira 300 orang sahaja.
Majlis berlangsung dalam suasana hujan lebat mencurah-curah dengan bekalan elektrik turut terputus sehingga terpaksa menggunakan loud hailer.
[VIDEO]
Suber HarakahDaily
Khutbah Eidil Adha 2013
11 years ago
Comments :
Post a Comment