Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Kerdau, Datuk Zaharudin Abu Kassim meninggal dunia selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya di Kerdau, lapor Bernama.
Dikesempatan ini saya mengucapkan takziah kepada kaum keluarga Allahyarham, semuga rohnya dicucuri rahmat.
Sekiranya diadakan pilihan raya, ini merupakan kali yang ke 17 pilihan raya kecil diadakan dan merupakan kali yang pertama bagi negeri Pahang.
Pilihan raya ini juga akan menyaksikan sejauhmana kesediaan dan komitmen jentera pilihanraya Pas Pahang untuk menghadapi PRK tersebut, seterusnya PRU yang ke 13 dalam negeri Pahang yang dianggap sebagai kubu kuat BN.
Satu Lagi Pilihan Raya Kecil Akan Berlaku
budu ruun, 2.12.2011Dr Mahathir seorang yang bijak - Nik Aziz
budu ruun, 2.03.2011KOTA BHARU, 3 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui Tun Dr Mahathir Mohamad seorang yang bijak dan mencadangkan kebijakasanaan beliau itu digunakan untuk Islam.
"Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT," kata Nik Aziz dalam satu tulisan khasnya bertajuk "Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir."
Beliau menjawab serangan Mahathir kepada beliau ekoran keengganan Nik Aziz turut menyerang Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang meminta umat Islam mengurangkan keislaman mereka.
"Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh Umno. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan Umno. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew," kata Nik Aziz dalam tulisannya itu.
Berikut adalah tulisan Nik Aziz sepenuhnya.
Isu Nasionalisme : Jawapan Saya Untuk Tun Mahathir
Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.
Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24
Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.
Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi.
Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.
Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)
Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya.
Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh?
Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?
Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46.
Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.
Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia.
Allah SWT berfirman yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)
Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya.
Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!
Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.
Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang?
Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO?
Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.
Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir?
Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?
Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar.
Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!
Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT.
Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar.
Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan.
Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?
Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)
HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.
Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011
Sumber : Harakahdaily
ADUN Galas Meninggal Dunia
budu ruun, 9.27.2010
ADUN Galas, Che Hashim Sulaiman yang mengidap barah usus telah kembali kerahmatullah di Hospital Al-Islam Kg Baru Kuala Lumpur jam 4.30 petang tadi.
Dikesempatan ini ucapan takziah ditujukan kepada keluarga Almarhum Che Hashim diatas pemergian Almarhum.
Alfatihah buat arwah Che Hashim semuga rohnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang soleh.
Buat penduduk Galas, nantikan selepas ini akan datang pelbagai jenis projek "mee segera" dari Umno dan BN sebagaimana yang telah kita sama-sama saksikan dalam tempoh pilihanraya kecil Manik Urai yang lepas.
Felda Berhutang?
budu ruun, 8.15.2010Bukan sahaja berhutang dengan Kerajaan, bahkan Felda didakwa turut berhutang dan tidak mampu membayar kontraktor-kontraktor yang dilantik untuk menguruskan tanah perladangan.
Bekas Timbalan Menteri Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata felda perlu menjelaskan mengapa ia tidak melunaskan pinjaman-pinjaman itu jika benar status kewangan Felda kukuh.
Sepenuhnya disini
Perpaduan Melayu : Supaya Lupa Isu Negara
budu ruun, 7.21.2010Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengingatkan kepada semua pimpinan dan ahli PAS di semua peringkat jangan terpedaya dengan tektik media Umno untuk menenggelamkan isu negara yang bertimbun-timbun sekarang yang mengambarkan kerajaan yang ditunjangi Umno di negara ini semakin rapuh dan reput. Ketika gelombang krisis keyakinan kepada Umno dan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sedang karam, maka perpaduan Melayu dijadikan sebagai benteng untuk menutup bangkai gajah yang terlalu besar. Slogan 1 Malaysia nampak tidak menjadi dengan gelagat Perkasa dan kenyataan Datuk Nasir Safar.
PAS menyedari ini adalah sebahagian daripada tektik media untuk mengalih isu yang sebenar dan melupakan isu pokok yang mencengkam rakyat. Mereka melontarkan isu ini melalui proksi mereka Tan Sri Harussani yang hendak menjadi perantara, untuk menunjukkan bahawa mufti yang mencadangkan perpaduan ini, apabila PAS menolak maka ada peluang untuk menuduh PAS sombong dan angkuh.
Perlu diingat bahawa isu perpaduan Melayu diuar-uarkan ketika rakyat didahulukan dengan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga gula pada 16/7/2010. Pemimpin Umno hendak rakyat leka dan berbincang mengenai isu perpaduan Melayu, yang tidak pernah berbangkit langsung dalam mesyuarat tertinggi PAS. Hajat mereka supaya rakyat tidak marah mengenai kenaikan harga minyak dan gula. Perlu dingatkan bahawa gula, tepung dan minyak akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat kearah untuk menghapuskan subsidi di negara ini dalam masa 3-5 tahun.
PAS hendak mengingatkan kepada rakyat, bagaimana media diarahkan supaya jangan sama sekali meletakkan tajuk berita “harga barang naik”, ketika ditaklimat pada 15 hb Julai 2010. Sebaliknya media perlu meletakkan “subsidi dikurangkan”, “rasionalisasi”, menstrukturkan semula supaya rakyat yang tidak faham dan ada yang faham harga barang turun. Maka tidak hairanlah kepada kita pada hari ini media proksi Umno memainkan isu perpaduan supaya rakyat lupa isu negara yang begitu banyak dan kenaikan harga barang.
PAS hendak memaklumkan kepada semua ahli dan pimpinan PAS supaya fokuskan kerja kita untuk menggantikan Umno di negara ini. Penerangan dan dakwah kepada ahli Umno yang tidak faham perjuangaan PAS perlu dilakukan secara berterusan, usahkan dilayan segala ajakan dan pujuk rayu Umno untuk melamar PAS, kita biarkan cinta Umno tidak berbalas dan biarkan Umno “angau” seorang diri.
Petunjuk ekonomi negara semakin tertekan dengan kadar faedah pinjaman bank dinaikkan. Bank Negara Malaysia pada 8 Julai lalu menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi kali ketiga tahun ini kepada 2.75 peratus. Susulan itu, bank turut menaikkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) masing-masing. Maybank menaikkan BLRnya sebanyak 0.25 peratus kepada 6.30 peratus. Semuanya gara-gara pemimpin negara yang boros dan rasuah sehingga amat dirasai oleh rakyat biasa di negara ini.
Begitu banyak isu-isu negara yang mengambarkan Umno sudah tidak mampu mengemudi negara, antaranya peruntukan saham bumiputera lesap sebanyak RM52 bilion, jenayah meningkat, anak luar nikah Melayu sahaja 17,303 orang (2009), enjen kapal terbang hilang, kapal selam berharga RM1.7 bilion tidak boleh menyelam, hutang negara RM362.4 bilion, serah telaga minyak blok L dan M pada Brunei yang bernilai RM320 bilion (kalau perbelanjaan negeri Kedah RM400 juta, dapat belanja selama 700 tahun), terlepas Pulau Batu Putih pada Singapura, Pos Malaysia rugi RM 227 juta, 217 hektar tanah serah pada Singapura, serah 50 peratus kepada Singapura untuk membangun Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), wang Felda susut daripada RM4.08 bilion 2004 hanya tinggal RM1.35 bilion pada tahun 2009, membazir wang rakyat RM77 juta kepada APCO Israel setahun untuk menjadi penasihat komunikasi.
Isu-isu inilah yang perlu disampaikan kepada rakyat, maka jangan kita hiraukan pujukan Umno melalui proksinya, PAS sudah tegas dengan Pakatan Rakyat. PAS tidak akan mencari nahas untuk untuk mencari pasangan hidup dengan orang yang ada masalah kesihatan yang sukar hendak diubat.
Ustaz Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat



