Anak Murid Jakim Agen Penyesat?

Oleh: wanibrah

"Seorang yang terkedu dengan kenyataan kawannya telah menelefon saya (Khamis lepas, 8 Julai). Katanya, tergamak kawannya itu membuat tohmahan "SESAT" bernada keras dan kebencian terhadap seorang berperwatakan ulama' yang memang dikenali ramai di negeri, negara hatta peringkat dunia.

Kawannya itu, kononnya lulusan Universiti al-Azhar, pensyarah salah sebuah IPT di Johor, dipanggil ustaz dan dianggap orang agama, tetapi kelihatan tidaklah berakhlak ulama. Dia berani mengeluarkan kenyataan SESAT selepas kembalinya berkursus di JAKIM. Ada individu tertentu telah mengasak pemikirannya dengan fakta-fakta kononnya dilakukan oleh ulama' tersohor itu. Lalu dilabelkan ulama' itu seorang yang SESAT. Ulama' yang dimaksudkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan.

Menurutnya, beliau telah berhujah dengan kawannya itu dengan beberapa persoalan yang gagal dijawab oleh kawannya itu. Setakat yang dia tahu tentang Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNAA), beliau tegaskan, tak mungkin seorang berakhlak seperti TGNAA itu adalah SESAT!

Lalu saya menelusuri sikap terkedu saudara penelefon itu. Saya membutirkan lagi beberapa hujah agar terkedunya itu tidak sampai ke peringkat kegusaran yang berpanjangan.

Saya berhujah berdasarkan pengalaman selama lebih 30 tahun mengenali TGNAA. Antara hujah yang dapat saya paparkan (menerusi telefon yang mengambil masa sekitar 10 minit):

1. TGNAA memang seorang ulama' kerana akhlaknya selalu berserban ketika tampil di khalayak, SESATkah kerana berserban?

2. TGNAA memang seorang guru agama kerana mengajar kitab (yang KDN lulus dijual di pasaran) setiap malam Khamis dan Jumaat di masjidnya sendiri, SESATkah kerana mengajar kitab?

3. TGNAA satu-satunya yang berserban, lulusan Deoband, India dan al-Azhar Mesir dalam bidang hadis dan qanun wal-syariah telah diangkat rakyat Kelantan menjadi Menteri Besar (MB) telah 20 tahun, SESATkah ilmu itu dan SESATkah rakyat Kelantan kerana mengangkatnya jadi MB?

4. TGNAA selalu bangun untuk beribadat malam (tahajud) mendekati Tuhan, SESATkah kerana beribadat malam?

5. TGNAA sering dijemput berkhutbah Jumaat tatkala hadir mengunjungi masjid-masjid di serata Kelantan, SESATkah kerana boleh berkhutbah (bukan baca khutbah)?

6. TGNAA bila berceramah, berucap dan merasmikan majlis akan memulakannya dengan membaca ayat-ayat al-Quran sebagai mukadimah kepada intipati kepada apa yang akan diceramahkan, diucapankan dan dirasmikan, SESATkah kerana bermukadimah dengan ayat al-Quran?

7. TGNAA akan bersolat dhuha dulu sebelum duduk memulakan tugas di kerusi MBnya, SESATkah kerana solat dhuha di pejabat?

8. TGNAA sejak menjadi pemimpin PAS telah mengajar ilmu tafsir al-Quran setiap pagi Jumaat di Masjid Muhammadi, kemudian sejak jadi MB mengajar pula di Dataran Ilmu MPKB yang anak muridnya ribuan orang, SESATkah kerana mengajar tafsir yang kitab rujukannya adalah "Tafsir Pimpinan Rahman" yang duluskan Jakim dan KDN?

9. TGNAA apabila hadir untuk bersolat fardhu di mana-mana masjid di serata negari dan negara tidak mudah nak jadi imam, selagi mana pihak berkuasa masjid itu tidak memintanya menjadi imam, SESATkah sikap sedia jadi imam semata-mata kerana diminta untuk jadi imam?

10. TGNAA sejak jadi Mursyidul Am PAS, menjadi pemimpin Pakatan Rakyat, berkawan dengan parti KeADILan dan DAP akan selalu menyampaikan mesej Islam (menerangkan kelebihan Islam) bila dijemput berucap, meskipun di depan Anwar, Lim Kit Siang hatta di depan Karpal Singh, SESATkah seorang pemimpin Islam bila berucap di depan pemimpin bukan Islam ia tegas menyatakan ajaran Islam?

11. TGNAA sebaik jadi MB Kelantan, komited dengan dasar Membangun Bersama Islam, arah simpan wang kerajaan Negeri di Bank Islam, buka pajak gadai Islam, pakai prinsip pentadbiran berteraskan Ubudiah, Masuliah dan Itqan, laksana perbandaran Islam, beri takaful kifalah untuk wasi si-mati, guna dinar emas, beri cuti bersalin 60 hari, mulakan kerja 5 hari seminggu...sekadar beberapa contoh, SESATkah pendekatan pentadbiran Islam sebegitu yang jelas kerajaan Pusat pun terikut-ikut sama?

Lepas itu, saya merungut di dalam hati..."sampai lenguh aku memegang telefon ni, nak layannya."

Apa pun banyak lagi hujah yang saya nak sebutkan. Namun, saya ringkaskan dengan mempelawanya, "jemputlah kawan saudara tu baca blog TGNAA (http://www.blogtokguru.com/) dan cuba-cubalah masuk Facebook TGNAA (http://www.facebook.com/nikaziz)." Alamatnya mudah je....

Harap sampaikan salam saya kepada kawan saudara tu (dalam hati aku terkata, iaitu anak murid Jakim agen penyesat?)

Terima kasih.

Coretan ikhlas,

Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.

Sumber: Tranungkite

Umno sesat sebab lawan perjuangan Islam

Oleh : Rizal Tahir
KOTA BHARU, 8 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tuduhan pihak yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat bukan sahaja satu tuduhan yang berat, sebaliknya amat tidak berasas.

Katanya, tidak ada sebab PAS yang menjadikan al-Quran dan Hadis sebagai dasar dalam perjuangannya, ditentang sekiranya Umno sendiri bukan sebuah parti yang sesat.
Beliau sebaliknya mendakwa Umno yang sebenarnya parti sesat kerana menolak perjuangan Islam.

“Umno sebenarnya parti sesat, sebab itu mereka melawan perjuangan PAS biarpun perjuangan PAS berlandaskan al-Quran dan hadis,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengulas kenyataan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sebuah parti ajaran sesat.

Tuan Guru berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Armalah di Putik, Pengkalan Chepa hari ini.

Beliau juga turut menyifatkan kenyataan Shafie Apdal itu sebagai mengarut serta tidak berasas.
Menurutnya, sesat atau sebaliknya perjuangan bukan boleh diukur dengan kefahaman sains, sebaliknya agama.

Jelasnya lagi, orang Islam sendiri setiap kali menunaikan solat sering menyebut tidak ingin sesat di mana Allah sendiri telah memberi nikmat kepada mereka berada di jalan yang benar.

“Hanya empat golongan mereka yang diberi nikmat oleh Allah, antaranya meneruskan perjuangan yang ditinggalkan oleh Rasulullah dan para nabi iaitu memperjuangkan Islam.

“PAS sendiri khususnya di Kelantan meneruskan dasar perjuangan Islam berkenaan yang menjadi agenda perjuangan parti sendiri menurut al-Quran, hadis, ijmak ulamak malah ianya menjadi dasar bertulis perjuangan,” ujarnya.

Tambahnya, dengan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan turut dilaksanakan mengikut landasan Islam termasuk menghapuskan premis judi, menyediakan rumah tiga bilik mengikut ajaran Rasulullah dan berbagai lagi.

“Kita juga buat sekolah Arab aliran sains, nak sesat apa lagi, yang tolak Islam itulah yang sesat.
Jelasnya lagi, menolak Islam ini akan menjadi manusia sesat di akhirat nanti, iaitu tidak akan sampai ke syurga.

Tambahnya, manusia tidak akan menemui jalan ke syurga jika tidak menurut ajaran Islam.
Katanya lagi, tidak ada ahli sains, psikologi atau golongan pemikir dapat membawa manusia ke syurga melainkan Rasulullah dengan ajaran Islam.

Harakahdaily

Tuduh PAS Sesat, Shafie Afdhal Biadab.

Parti Islam Se-Malaysia PAS menganggap dakwaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung ucapannya yang didakwa menuduh Parti Islam Se-Malaysia itu sebagai parti ajaran sesat, sebagai satu kenyataan yang biadab. Beliau yang juga naib presiden Umno, dalam ucapan perasmian mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya, telah menuduh PAS sebagai parti ajaran sesat.

PAS mencabar beliau atas dakwaan apa beliau membuat kenyataan begitu? Apakah beliau sudah kehilangan arah dan celaru dalam pemikiran politik sehingga mengeluarkan kenyataan demikian rupa. Di dalam Perlembagaan Pas fasal 3 “Dasar Pas ialah Islam”. Fasal 7 (1) Adapun hukum yang tertinggi sekali dalam pegangan Pas ialah Kitabullah dan Sunnah Rasul serta Ijma’ Ulamak dan Qias yang terang dan nyata. Umno pula apa dasarnya dan apa pula rujukannya?

PAS tidak mahulah ajak Shafie menerangkan apa maksud Islam, Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias yang diperjuangkan oleh PAS. Kita tahu kemampuan beliau berhubung kait dengan hal ehwal agama ini. Jadi kalau beliau jahil berkenaan dengan dasar PAS maka jangan membuat tuduhan yang liar terhadap satu juta ahli PAS.

PAS menganggap kenyataan yang biadab daripada seorang naib Presiden Umno yang emosi dan mentah dalam hal ehwal agama sahaja yang sanggup mengeluarkan kenyataan begitu rupa. Parti PAS yang di dokong oleh Tuan Guru dan alim ulama’ macam mana beliau boleh menuduh PAS ajaran sesat.

Satu ketika dahulu PAS pernah dituduh lebih merbahaya daripada komunis, walaupun dalam sejarah perjuangan PAS tidak ada mereka yang menganut fahman komunis yang memimpin PAS, sebaliknya pemimpin Umno yang ditangkap kerana menjadi ejen komunis dan tahan di bawah ISA.

PAS berpandangan bahawa kenyataan biadab ini untuk memburukkkan perjuangan PAS di kalangan orang Islam khususnya dan orang bukan Islam yang sudah semakin dekat dengan perjuangan PAS. Beliau cuba menakutkan orang ramai supaya jangan sokong PAS ketika Umno mengalami masalah dalaman mereka dan kekurangan minyak pelincir untuk menggerakkan parti mereka, terutama lubuk emas umno di Selangor dan Pulau Pinang yang kini berada di bawah Pakatan Rakyat.

PAS menasiihatkan Shafei sebelum hendak menuduh PAS sebagai ajaran sesat , supaya beliau melihat dahulu beberapa kenyataan pemimpin Umno yang menghina hukum Allah dan janggut Nabi Muhammad S.A.W.

PAS memberi amaran, sekiranya beliau tidak menarik balik , kita akan mengarahkan supaya laporan polis dibuat di seluruh negara dan bacaan Yasin dan Solat Hajat diilakukan oleh satu juta ahli PAS di seluruh negara.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

SAYA CAKAP DARI KONTEKS PERLEMBAGAAN

Karpal yang genap 70 tahun hari ini memberitahu, tidak pernah wujud kekeliruaan mengenai status Malaysia sebagai sebuah negara sekular.


Karpal menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengubah realiti sebuah negara sekular menerusi kenyataan-kenyataan politiknya yang dibuat oleh beliau pada masa-masa lalu, yang telah “mengelirukan orang ramai” berkenaan identiti Malaysia.

“Perlembagaan menyediakan peruntukan mengenai perkara ini. Tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan Malaysia sebuah negara Islam.

“Agama rasmi Malaysia ialah Islam tetapi tidak bermakna ia sebuah negara Islam,” kata beliau lagi.

Bagaimanapun Karpal menegaskan, kesemuanya tertakluk kepada undang-undang dan peraturan persekutuan.

“Pada 1988, Mahkamah Agung telah memutuskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular,” katanya.

“Pada 1990, ketika satu ceramah di Sungai Pinang, akhbar-akhbar memetik saya mengatakan (bina) ‘negara Islam dengan melangkah mayat saya’,” katanya.

“Mereka (pemberita) tidak membuat laporan konteks kenyataan saya ketika.

“Saya mengatakan demikian dalam hubungan kepada perlembagaan. Tetapi saya kekal dengan pendirian itu, mengatakan perkara yang sama sekarang,” kata Karpal.

Ikatan antara DAP dan PAS bukan sesuatu yang baru dalam bentuk PR.

Kedua-dua parti itu pernah menjalin kerjasama dengan mewujudkan Barisan Alternatif pada pilihan raya umum 1999, tetapi gagal meneruskan jalinan ekoran isu negara Islam.

“Kita pernah menjalin pakatan pada masa lalu tetapi kita gagal. Apa yang membezakan sekarang ialah kami bersatu dalam mengetepikan musuh bersama iaitu Barisan Nasional.

“Buat masa sekarang, yang paling utama ialah mengambil alih Putrajaya daripada BN,” katanya.

Sumber: Pemuda PAS Wangsa Maju

Kelantan perjelas pemulauan Kelantan Fiesta 2010

KOTA BHARU, 24 Jun: Ekoran pelbagai tuduhan dilemparkan oleh Red Carpet Worldwide Sdn Bhd selaku pengurus acara Kelantan Fiesta 2010, persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan semalam didedahkan perkara sebenar di sebalik tindakan pemulauan majlis perasmian majlis itu 16 Jun lalu.

Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga salah seorang pengerusi bersama jawatankuasa induk Kelantan Fiesta 2010 sewaktu menggulung perbahasan semalam memberitahu, keputusan tidak hadir ke majlis perasmian tersebut dibuat ekoran Red Carpet melanggar perjanjian (Event Management Agreement).

Antaranya termasuklah tidak membenarkan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku tuan rumah untuk memberikan ucapan pada majlis tersebut yang diberitahu pada mesyuarat jawatankuasa induk 13 Jun lalu.

Mereka dimaklumkan bahawa yang dibenarkan berucap hanya dua orang iaitu wakil Red Carpet dan Perdana Menteri.

Menurutnya, seorang pegawai Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan memberitahu bahawa arahan agar slot ucapan Menteri Besar Kelantan ditiadakan dibuat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapha Mohamed.

"Mula-mula saya tak percaya. Saya telefon, saya bercakap sendiri dengan Datuk Pa, didengar oleh pegawai JPP, TSUK Pengurusan. Datuk Pa kata menteri besar tak payah berucap," jelasnya.

Menurutnya, dalam perjanjian asal telah dipersetujui bahawa Tuan Guru salah seorang yang akan memberi kan ucapan dan telahpun dimasukkan dalam buku taklimat atucara majlis yang dibuat sendiri Red Carpet.

Tuan Guru, katanya dijangka berucap jam 9 malam sebelum ucapan perasmian oleh Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

"Menteri Besar sebagai hos, tuan rumah, memang wajar berucap dalam majlis perasmian itu. Tak kan Perdana Menteri datang sorang-sorang tak tahu kepala ekor datang berucap begitu.

"Umpama kita pergi rumah orang, tuan rumah tak buka mulut lagi, kita dah bercakap," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri.

Pelanggaran kedua, katanya apabila pihak Red Carpet dalam satu sidang media 13 Jun yang dilaporkan akhbar Utusan, mendakwa Perdana Menteri yang akan merasmikan program tersebut sedangkan perjanjian mengikut perjanjian asal, perasmi adalah Pemangku Raja Kelantan.

Lebih teruk dari itu, Red Carpet juga mencetak bunting program perasmian dengan meletakkan gambar Najib yang dinyatakan sebagai perasmi program.

Menurutnya, Pemangku Raja telah pun bersetuju untuk berangkat merasmikan program tersebut melalui satu surat dari pejabat Sultan Kelantan bertarikh 14 Jun.

Namun pada 16 Jun, satu lagi surat dari pejabat Sultan Kelantan memaklumkan Pemangku Raja tidak dapat berangkat merasmikan program tersebut atas sebab-sebab tertentu.

"Oleh kerana senario berlaku, masalah pelanggaran syarat perjanjian, dan juga kita anggap sebagai satu program yang tidak mematuhi syarat, dan satu penghinaan kepada Yang Maha Mulia Pemangku Raja.

"Jadi mesyuarat exco buat keputusan, menteri besar, exco dan pegawai kerajaan tidak akan hadir," katanya.

Dalam penjelasannya juga, Takiyuddin turut menjawab beberapa tuduhan yang dilemparkan Red Carpet kepada kerajaan negeri termasuk menuduh kerajaan negeri mensabotaj program berkenaan.

"Jadi apabila hujan datang, ribut datang, seolah-olah kerajaan negeri boikot dengan bawa hujan ribut sekali," katanya disambut ketawa ahli dewan.

Pada malam 16 Jun lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menggantikan Perdana Menteri merasmikan Kelantan Fiesta 2010 hanya dengan kehadiran kira-kira 300 orang sahaja.

Majlis berlangsung dalam suasana hujan lebat mencurah-curah dengan bekalan elektrik turut terputus sehingga terpaksa menggunakan loud hailer.

[VIDEO]
Suber HarakahDaily