Kedudukan Kewangan Felda Tidak Telus

Bahagian Akhir
Oleh Jamilah Kamarudin

Timbalan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa PKR Pusat Datuk Dr Tan Kee Kwong juga mendakwa, semasa beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal Felda (1995-2004), Felda diuruskan dengan baik.

Namun semuanya berubah dan menjadi serba tidak kena apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (Timbalan Menteri ketika itu) ‘masuk campur’ urusan pentadbiran Felda pada tahun 2005.

Kini, rizab tunai Felda menjunam sebanyak RM2.73 bilion, iaitu daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.

Kewujudan Felda Global Ventures yang membuat banyak pelaburan besar di luar negara juga menjadi persoalan.

Begitu juga dengan pembinaan ibu pejabat Felda yang didirikan berhampiran menara kembar KLCC dengan nilai RM662 juta.

Melihat beberapa aspek, keadaan ini dikhuatiri akan memberi kesan kepada jaminan masa depan peneroka Felda.

Tan yang juga bekas pemimpin Gerakan dan menyertai PKR pada tahun 2008 juga memberi pandangannya tentang perbezaan cara Felda diuruskan pada zaman kepimpinan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Najib. Ikuti seterusnya wawancara wartawan kami dengan beliau.

Soalan: Adakah peneroka mendapat hak yang sepatutnya dalam mengusahakan perladangan kelapa sawit?

Jawapan: Pada pandangan saya, ada di antara mereka yang tidak gembira dengan apa yang mereka dapat. Terutamanya membabitkan penjualan tandan kelapa sawit dengan harga dibawah pasaran dan tidak mengikut Kadar Perahan Gred (KPG). Setakat ini, peneroka Felda dari Johor, Negeri Sembilan dan Pahang telah mengemukakan saman itu di Mahkamah Tinggi negeri-negeri berkenaan.

Peneroka Felda Kemahang di Kelantan pula menang kes saman apabila mahkamah pada Januari lalu memerintahkan Felda membayar ganti rugi RM7.8 juta kerana menipu urus niaga penjualan hasil kelapa sawit.

Saya ada dapat maklumat yang RM2 bilion digunakan untuk projek penanaman semula. Projek itu menggunakan tabung tanam semula milik peneroka. Jadi peneroka mahu tahu masih ada lagikah duit dalam tabung itu atau telah dipindahkan kepada Felda Global Ventures? Perdana Menteri, sila jawab persoalan ini dengan telus.

Soalan: Kenapa Felda tidak pernah bentang laporan kewangan rasmi tahunan sejak tahun 2007?

Jawapan: Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan menjadi milik rakyat, Felda sepatutnya telus membentangkan penyata kewangannya walaupun ia mengalami kemerosotan. Felda diminta hentikan sikap membuat laporan ‘tersembunyi’. Ini kerana Felda bukan syarikat persendirian, ia milik rakyat.

Saya juga menerima maklumat dengan jumlah tunai yang ada sebanyak RM4.5 bilion, hanya RM200 juta sahaja yang ada untuk keperluan peneroka.

Begitu juga dengan khabar kini Felda melabur sebanyak RM600 juta dalam projek ladang lembu. Projek ini tidak sesuai di Malaysia, salah satu kerana faktor cuaca, jadi hasil ternak tidak mampu menghasilkan susu dan daging sebaik Australia. Mereka tahu mengenai hal ini, semua orang tahu. Tapi kenapa Felda masih juga mahu melabur?

Jika maklumat yang saya terima ini tidak benar, pihak kerajaan sila keluarkan laporan kewangannya sejak 10 tahun lalu. Apakah nilai sebenar akaun Felda dan terutamanya apa yang terjadi sebelum dan selepas pemerintahan Najib?

Soalan: Sebagai bekas timbalan menteri yang bertanggungjawab menjaga Felda pada zaman kepimpinan Tun Mahathir, adakah terdapat perbezaan dengan cara Najib menguruskan Felda?

Jawapan: Pada pemerhatian saya, Felda selama ini dijaga dengan baik dan tiada campur tangan politik sehingga wujudnya kehadiran Najib dalam urusan Felda. Ini kerana semasa pentadbiran Felda dijaga Pengerusi Tan Sri Raja Muhamad Alias, beliau juga tidak membenarkan mana-mana ahli politik campur tangan dalam urusan Felda.

Tun Mahathir langsung tidak ‘ganggu’ urusan Felda. Tun hanya biarkan saya dan Kasitah (bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi) uruskan Felda.

Pada tahun 2005, timbalan perdana menteri ketika itu ’sibuk’ mahu bertanggungjawab atas Felda sehingga beliau jadi Perdana Menteri. Kenapa beliau sibuk mahu jaga Felda sedangkan beliau ada tanggungjawab lain selain memegang jawatan Menteri Pertahanan dan Menteri Kewangan sepanjang jawatannya? Mungkinkan kerana aset Felda yang sungguh berharga?

Bukan saya mahu memuji Tun Mahathir, tapi semenjak Najib masuk campur, banyak yang tidak kena, termasuk kesannya kepada peneroka, dan penempatan Felda.

Soalan: Dengan kenyataan sebegini, adakah Datuk sedia berdebat?

Jawapan: Tidak ada masalah. Malah Pakatan Rakyat selama ini pun mencabar dan mengajak Timbalan Menteri Ahmad Maslan dan Najib turut serta berdebat dihadapan peneroka.
Tapi mereka enggan, hanya mahu berdialog sahaja. Perlu diingat 45 kerusi Parlimen di kawasan Felda terletak ditangan peneroka. Tapi jangan rasa selesa sekarang peneroka sudah bangkit menuntut hak. Peneroka bukan lagi dianggap sebagai ‘deposit tetap BN’ lagi. Lebih lama perkara ini disimpan, BN akan lebih banyak kehilangan sokongan.

Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Zaid Ibrahim, dan kami semua mahu dikenakan tindakan undang-undang, jadi bawa sahaja kami ke mahkamah. Kami tidak gentar. Tapi setakat ini saya tidak pernah terima apa-apa surat saman pun daripada Felda. Tiada. Hanya ugutan sahaja.

Soalan: Ramalan tentang peluang Pakatan Rakyat (PR) memenangi PRU ke 13?

Jawapan: Sangat bagus. PR kini sedang membuat ‘proses pembersihan parti bagi mengelak timbulnya sebarang masalah. Kami juga sangat berhati-hati memilih calon yang benar-benar layak dan setia. Saya juga sedang merangka strategi menawan Johor, Sabah, dan Sarawak.

Kepada rakyat Malaysia, sila buka mata kerana kini sudah tiba masanya PR tawan Putrajaya. Jika PR perlu menunggu sehingga 20 atau 30 tahun lagi, saya bimbang hutang negara akan bertimbun sehingga RM700 bilion dan pada ketika itu, tiada siapa mampu dapat selamatkan negara kita lagi.

Sumber

Comments :

0 ulasan to “Kedudukan Kewangan Felda Tidak Telus”

Post a Comment