Felda diserang kerana kubu kuat BN

Oleh Staf FMT
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa parti-parti pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerang Felda kerana badan konglomerat itu merupakan kubu kuat Umno-Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, “Felda mula diserang semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) parlimen Hulu Selangor April lalu kerana para peneroka kuat menyokong kerajaan.

“Mereka tahu ada lima kawasan Felda di Hulu Selangor yang mengundi BN dan kita dapat majoriti lebih 2,000 undi,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Dalam PRK itu, calon PKR Datuk Zaid Ibrahim tewas kepada calon BN P Kamalanathan dengan majoriti 1,725 undi.

Baru-baru ini, ketua penerangan Umno itu mengumumkan Felda memfailkan saman RM200 juta terhadap akhbar mingguan milik PKR Suara Keadilan kerana artikel yang memfitnah Felda bankrap.

Ahmad Maslan sekali lagi menegaskan bahawa tulisan bertajuk "Felda Bankrap" adalah keterlaluan walaupun rezab tunainya susut sebanyak RM2.7 bilion.

“Tetapi aset Felda naik RM6.2 bilion pada tahun lalu. Akaun Felda diaudit oleh juru audit luar dan dibentang dalam sidang parlimen,” katanya.

Beliau berkata, kerugian itu juga disebabkan oleh perlaburan di 12 negara termasuk Amerika Syarikat dan Kanada yang belum mendatangkan hasil.

Bagaimanapun beliau mempertahankan pelaburan di luar negara itu untuk tujuan kepentingan dan faedah jangka panjang.

“Mana ada orang berniaga hari ini, hari ini untung, katanya sambil ketawa.

Biayai projek bukan tugas Felda
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Husam Musa mendakwa tindakan beberapa pemimpin Umno-BN adalah penyebab kenapa rizab tunai Felda semakin kering.

Rizab tunai Felda yang menjunam teruk dari RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009 menimbulkan kebimbangan rakyat sehingga isu ini dibawa ke Parlimen baru-baru ini.

Dalam satu tulisan diblognya, Husam mendakwa sebuah firma arkitek yang diterajui oleh seorang pemimpin Umno diberikan projek bukan bidang kepakaran Felda tetapi menggunakan peruntukan daripada rizab tunai lembaga itu.

Menurut beliau lagi, sebanyak RM512 juta dibelanjakan untuk projek-projek yang tidak perlu dan di luar tugas Felda, yang disiapkan oleh firma akitek yang sama.

Husam mendakwa Felda membiayai projek-projek yang bukan bidang tugas Felda seperti kolej komuniti di Terengganu dengan belanja sebanyak RM18 juta, Sabah (RM22 juta), kerja menaik taraf bekalan air di Pahang (RM200 juta) dan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (RM120 juta).

Mengenai pelaburan di Amerika dan Kanada, beliau berkata setakat ini Felda telah membelanjakan sebanyak RM800 juta untuk projek-projek pelaburan, yang menurut Ahmad Maslan belum mendatangkan hasil.

Sumber

Comments :

0 ulasan to “Felda diserang kerana kubu kuat BN”

Post a Comment